Monday, January 11, 2010

Bagaimana kita pagi ini?

Salaam dan selamat berpagi-pagi

Apa khabar semua,
Bagaimana perjalanan ke pejabat pagi ini?, semoga selamat dan tidak tertekan dengan kesesakan jalan pada pagi ini.
AlhamduliLlah, sempat juga menghantar anak-anak ke sekolah pagi ini sebelum pintu pagar sekolah mereka ditutup oleh jaga. Mereka selalunya terlewat ke sekolah dan tiba ketika pelajar lain sedang beratur mendengar ucapan pagi daripada guru bertugas.

Macam biasa, pagi ini saya sempat menghabiskan bacaan Ma'thurat sepanjang perjalanan ke pejabat lebih kurang 10 kilometer.
Apa yang sering berlaku ialah, saya biasanya akan gagal menghabiskan bacaan Ma'thurat pada hari tidak bekerja. Lemahnya saya kerana terpaksa bergantung kepada perjalanan ke pejabat untuk membaca Ma'thurat setiap hari.

Pengajarannya ialah, kita sebenarnya banyak dipengaruhi suasana dalam kehidupan seharian. hari ini mungkin boleh jadi lebih baik daripada semalam jika kena dengan perancangan dan suasananya. Esok mungkin berbeza jika kita berdepan dengan suasanan berlainan dan persekitaran berbeza.

Saya pernah menyaksikan peristiwa yang berlaku dan tidak terfikir ianya boleh terjadi. Hujung tahun 1990 saya pernah ke Singapura bekerja sebagai buruh, pada masa itu memang ramai orang Malaysia mencari rezeki ke Singapura. Saya tinggal di kuarters/ bangsal pekerja yang terdiri daripada pekerja Malaysia. Sepanjang satu bulan setengah berada di sana, saya mendapati hanya 3 orang sahaja yang menunaikan solat 5 waktu termasuk solat jumaat di sana.
Antara mereka yang tinggal bersama ialah orang sekampung dengan saya. Saya selalu melihat dia solat berjemaah dan azan di masjid di kampung saya. Saya amat terkejut mendapati bahawa sepanajang berada kuarters pekerja, dia tidakpun menunaikan solat 5 waktu, apatah lagi untuk solat jumaat di masjid yang agak jauh. Lebih malang lagi ialah, para pekerja ini selalu bermain daun terup (berjudi) dengan taruhan duit syiling 20 sen dan seumpamanya.

Ada seorang rakan sekerja menceritakan bahawa dia bekerja untuk bekalan perkahwinannya yang semakin hampir. Tunangannya ialah seorang ustazah, saya rasa terpinga-pinga mendapati bahawa seorang yang bakal berkahwin dengan seorang ustazah, tetapi dia sendiri tidak menunaikan solat sepanjang bekerja. Bagaimana agaknya keadaan rumahtangga yang bakal dibina nanti dan apa nasib anak-anak mereka nanti mempunyai seorang ayah yang longgar pengamalan agamanya.

Marilah kita fikirkan bersama......

No comments:

Post a Comment